2009 catat rekod terpanas abad ini
COPENHAGEN - Menurut rekod, tahun 2009 dipercayai yang kelima paling panas tetapi yang pertama dalam kurun ini, kata Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) semalam.
Bercakap dalam satu majlis sampingan pada sidang kemuncak iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini, Ketua WMO, Michel Jarraud turut mendedahkan beberapa lokasi panas melampau tahun ini.
Menurut beliau, Australia mengalami tahun ketiga paling panas sejak catatan cuaca WMO yang bermula pada 1850 selain dilanda tiga gelombang panas luar biasa.
"Saya boleh meneruskan lagi. China dilanda kemarau paling teruk dalam tempoh lima dekad yang menjejaskan jutaan penduduk, musim tengkujuh pendek menyebabkan kemarau teruk di India, kekurangan makanan ekoran kemarau teruk di Kenya," katanya kepada wartawan.
Jarraud turut menyatakan mengenai beberapa banjir luar biasa termasuk bah terburuk sejak 90 tahun lalu yang melanda Burkina Faso.
Tahun paling panas dalam rekod WMO ialah 1998 yang dikaitkan dengan fenomena pemanasan lautan dinamakan El Nino.
Maklumat tersebut disampaikan bagi membuktikan bahawa krisis pemanasan global semakin mengancam manusia sekiranya tidak ditangani dengan segera. - Agensi
Wednesday, December 9, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment