Wednesday, December 16, 2009

Pembaziran!


ROMPIN - Lebih 75,000 liter susu segar keluaran First Dairy Farm (M) Sdn. Bhd. (Fidaf) di sini yang sepatutnya dihantar ke kilang setiap hari sejak sejak bulan lalu terpaksa dibuang begitu sahaja ke dalam parit ladang berkenaan.
Ia jelas satu pembaziran tetapi kepada pengurusan Fidaf, mereka berbuat demikian untuk membuka mata pihak berkuasa selepas tiga syarikat pengilang susu enggan membeli hasil ladang syarikat tenusu terbesar di Semenanjung Malaysia itu atas dakwaan ia mengandungi bakteria selain desakan harganya diturunkan.
Syed Muhd. Alwi
Susu keluaran Fidaf pada masa ini dijual RM2.40 seliter dan dikatakan mahal sedikit berbanding produk susu import dari Australia dan New Zealand.
Kesan daripada tindakan itu, Fidaf beroperasi lebih setahun lalu terpaksa menanggung kerugian lebih RM210,000.
Tindakan protes membuang susu ke dalam parit tu mengundang rasa sedih bukan sahaja kepada Pengarah Urusannya, Datuk Syed Muhd. Alwi Abdullah tetapi juga para pekerja yang melihat keringat mereka menjadi sia-sia dan masa depan menjadi samar-samar.
Semalam, Fidaf meneruskan lagi tindakan protes dengan membuang 16,500 liter susu segar ke dalam parit dengan Syed Muhd. Alwi berteriak bahawa mereka bukan sekadar membuang susu tetapi juga punca rezeki.
Beliau mendakwa pihaknya serta pengeluar susu tempatan lain semakin tersepit dan tidak lagi dapat menandingi bekalan susu import yang menguasai 95 peratus pasaran

-LEBIH ELOK DERMA KEPADA ORANG YANG MEMERLUKAN!

Wednesday, December 9, 2009

2009 catat rekod terpanas abad ini

2009 catat rekod terpanas abad ini
COPENHAGEN - Menurut rekod, tahun 2009 dipercayai yang kelima paling panas tetapi yang pertama dalam kurun ini, kata Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) semalam.
Bercakap dalam satu majlis sampingan pada sidang kemuncak iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini, Ketua WMO, Michel Jarraud turut mendedahkan beberapa lokasi panas melampau tahun ini.
Menurut beliau, Australia mengalami tahun ketiga paling panas sejak catatan cuaca WMO yang bermula pada 1850 selain dilanda tiga gelombang panas luar biasa.
"Saya boleh meneruskan lagi. China dilanda kemarau paling teruk dalam tempoh lima dekad yang menjejaskan jutaan penduduk, musim tengkujuh pendek menyebabkan kemarau teruk di India, kekurangan makanan ekoran kemarau teruk di Kenya," katanya kepada wartawan.
Jarraud turut menyatakan mengenai beberapa banjir luar biasa termasuk bah terburuk sejak 90 tahun lalu yang melanda Burkina Faso.
Tahun paling panas dalam rekod WMO ialah 1998 yang dikaitkan dengan fenomena pemanasan lautan dinamakan El Nino.
Maklumat tersebut disampaikan bagi membuktikan bahawa krisis pemanasan global semakin mengancam manusia sekiranya tidak ditangani dengan segera. - Agensi