Friday, November 27, 2009

Masalah bekalan elektrik di Pantai Barat Sabah selesai 2014

Masalah bekalan elektrik di Pantai Barat Sabah selesai 2014
PAPAR 26 Nov. - Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman yakin masalah bekalan elektrik yang menghantui penduduk di pantai barat Sabah akan berakhir pada 2014 apabila stesen janakuasa Kimanis di Kampung Kuala Benoni di sini beroperasi sepenuhnya.
Beliau berkata, sebagai sebuah negeri yang pesat berkembang, Sabah amat memerlukan penjanaan bekalan elektrik yang lebih besar, cekap dan terjamin bagi memenuhi keperluan pembangunan masa kini dan akan datang
"Stesen di Kimanis secara tidak langsung akan memberi manfaat besar kepada aktiviti ekonomi dan sosial di negeri ini yang sebelum ini sering kali terganggu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas upacara pecah tanah pada majlis pecah tanah projek stesen itu di sini hari ini.
Hadir sama ialah Presiden Petronas, Tan Sri Mohd. Hassan Marican, Pengerusi Petronas Gas Berhad, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin dan Pengerusi NRG Consortium (Sabah) Sdn. Bhd, Dr. Johan Arirffin.
Stesen janakuasa yang dibina di kawasan seluas 16 hektar di Kampung Kuala Benoni itu dijangka siap pada 2013 dan beroperasi sepenuhnya pada pertengahan 2014.
Stesen yang mampu menghasilkan sebanyak 300 megawatt tenaga elektrik itu dibangunkan oleh Kimanis Power Sdn. Bhd. iaitu syarikat usahasama antara Petronas Gas Berhad dan NRG Consortium (Sabah) Sdn. Bhd..
Musa berharap, projek itu akan berjalan lancar kerana ia merupakan salah satu agenda pembangunan penting untuk rakyat Sabah.

No comments:

Post a Comment