Friday, October 9, 2009

Daerah Penampang perlukan masjid

Daerah Penampang perlukan masjid
KOTA KINABALU 8 Okt. - Kerajaan negeri diminta membina sebuah masjid di daerah Penampang dekat sini bagi memberi kemudahan kepada umat Islam menunaikan ibadat.
Pengerusi Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Sabah, Abdul Mukti Syaubari berkata, ketiadaan masjid di daerah itu telah menyukarkan penduduk Islam di daerah ini menunaikan ibadat.
"Kemudahan masjid amatlah penting bagi masyarakat Islam menunaikan ibadah seharian mereka.
"Jadi penduduk Islam di daerah ini merayu supaya kerajaan mempertimbangkan membina sebuah masjid untuk kemudahan masyarakat Islam di daerah ini," katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Rumah Kebajikan Suria dekat sini semalam.
Daerah yang terletak bersebelahan bandar raya Kota Kinabalu itu mempunyai keluasan kira-kira 46, 347 hektar dengan jumlah penduduk kira-kira 137,002 orang.
Parlimen Penampang yang diwakili oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok mempunyai kira-kira 12,653 pengundi berdaftar yang mana 11 peratus daripadanya adalah bumiputera beragama Islam.
Abdul Mukti yang juga Pengerusi Biro Agama, UMNO Bahagian Kota Kinabalu berkata, ketiadaan masjid di daerah Penampang pada masa ini menyebabkan penduduk Islam di situ terpaksa menggunakan masjid negeri untuk menunaikan solat Jumaat.
"Mereka terpaksa berhadapan dengan kesesakan lalu lintas menyebabkan mereka sering terlambat dan kadangkala tidak sempat mendengar khutbah Jumaat.
"Jadi pembinaan masjid di kawasan ini amat perlu dilakukan dengan segera untuk kebaikan umat Islam di daerah ini," katanya.

No comments:

Post a Comment