Ahli PIBG disaran ronda kawasan sekolah
KUCHING 24 Okt. - Ahli-ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dicadangkan supaya kerap melakukan rondaan ke kawasan persekitaran sekolah masing-masing bagi memastikan tahap disiplin di kalangan pelajar terkawal.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Ranum Mina berkata, ketika ini, ramai pelajar yang terjebak dengan gejala yang tidak sihat seperti suka ponteng kelas, merokok dan merayau-rayau di kawasan sekitar berdekatan sekolah.
Menurutnya, ahli-ahli PIBG dengan kerjasama guru-guru sekolah perlu melakukan rondaan dan memerhati keadaan persekitaran sekolah terutamanya ketika waktu belajar sedang berlangsung bagi mengelak perkara seumpama itu berlaku.
''Ini kerana, ada pelajar yang ponteng kelas dan pergi ke lokasi yang terlindung daripada pihak sekolah untuk melakukan gejala tidak sihat.
''Di sini, ibu bapa juga perlu memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam memastikan disiplin anak-anak dari semua aspek termasuk mengelak mereka terjebak dari gejala negatif agar menjadi modal insan yang berguna," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Ke-21 dan Karnival Hari Jualan PIBG Sekolah Menengah Kerajaan (SMK) Lundu, dekat sini hari ini.
Pada masa yang sama, Mina turut mencadangkan pertemuan yang lebih kerap di antara guru-guru kelas dan ibu bapa bagi mengetahui prestasi akademik dan kokurikulum semasa anak-anak mereka.
Katanya, dalam pertemuan tersebut, guru kelas anak masing-masing boleh memberi taklimat secara ringkas mengenai seseorang pelajar terbabit malah boleh bersemuka dengan ibu bapa pelajar.
Tambahnya, langkah ini penting bagi membolehkan ibu bapa pelajar berkenaan mengetahui dengan lebih dekat lagi perkembangan serta tingkah laku dan disiplin anak mereka.
''Bagi membentuk modal insan yang mantap, kerjasama dan persefahaman antara ibu bapa dengan guru-guru harus diperkasakan menerusi penyertaan mereka dalam PIBG ini.
''Demi kebaikan anak-anak dan sekolah, sokongan dan hubungan erat ibu bapa dengan para guru tidak dapat dipisahkan untuk menggilap serta memantapkan kualiti yang sedia ada dalam diri pelajar itu sendiri," ujarnya.
Pada majlis yang sama, Mina telah mengumumkan geran sebanyak RM5,000 kepada PIBG SMK Lundu bagi mengendalikan aktiviti tahunan mereka.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment