Wednesday, August 19, 2009

Apa yang perlu dicerap? Artikel dari Falakonline

Melibatkan diri di dalam hobi yang bernama astronomi , sekali imbas tidaklah begitu kompleks. Kita hanya perlu tahu objek apakah yang sedang muncul di langit pada waktu ini, dan boleh 'menunjukkan' kepada rakan anda objek tersebut dengan rasa penuh yakin! Untuk melakukan ini, kita tidak perlu membeli sebarang peralatan astronomi. Kita hanya perlu pandai menggunakan mata kita sebagai alat bantuan mencerap dan ilmu yang dipelajari sebagai navigator atau panduan arah.

Namun, 10 tahun kebelakangan ini, dengan berkembangnya teknologi teleskop, kita akan mudah rasa bingung dan tidak tahu teleskop jenis apa yang harus dibeli yang dapat menunjukkan 'semua' objek idaman anda. Di sinilah, vendor-vendor teleskop memanipulasi 'idaman' orang ramai dengan menyediakan pelbagai jenis teleskop. Dan jika tidak berhati-hati, kita sebagai pengguna akan mudah terperangkap dengan kata-kata 'marketing' yang disediakan.
Bagi saya, pengalaman hampir 20 tahun bermain-main di dalam bidang ini, Alhamdulillah telah sedikit sebanyak merasionalkan pemikiran saya daripada terperangkap dan terbeli alat-alat yang tidak diperlukan. Ini seterusnya membawa saya kepada satu soalan yang paling asas yang patut ditanya oleh sesiapa sahaja yang ingin membeli teleskop..... "Objek apakah yang saya gemari dan ingin cerap selalu ?"
Di dalam Siri 1 ini, saya akan cuba senaraikan objek-objek yang boleh dicerap di langit, dan jenis peralatan paling sesuai untuk digunakan.

MATAHARI

Matahari merupakan objek yang paling cerah di langit, tetapi antara objek yang paling mudah kita terlupa untuk cerap. Kebanyakkan daripada kita menganggap tidak ada apa-apa yang menarik boleh dilihat pada matahari. Ini merupakan satu anggapan yang salah. Kerana matahari merupakan antara objek yang paling aktif dan dinamik di langit. Tompok matahari, kawasan 'hitam' pada permukaan matahari sentiasa berubah-ubah bentuknya, dan jika kita bernasib baik, akan muncul tompokan hitam gergasi yang pernah belaku pada bulan Ramadhan tahun 1424 lepas, yang berjaya dirakam oleh saya.
Untuk mencerap matahari, kita boleh guna samada binokulars dan teleskop. Kaedah yang paling selamat ialah menggunakan filter atau penapis matahari (seperti jenis Mylar) atau guna kaedah "eyepiece projection". Apapun, JANGAN SEKALI-KALI MELIHAT MATAHARI TANPA MENGGUNAKAN SEBARANG PENAPIS MATAHARI, jika anda gagal mematuhi peraturan asa ini, ia boleh menyebabkan anda BUTA!!! AWAS!!!

BULAN

Bulan ialah objek yang paling mudah untuk dikenalpasti. Anak-anak kecil pun sudah pandai menunjuk-nunjuk arah bulan sampai kata "wa wa wa wa wa... tu bulan!!!!" Dan bagi saya Bulan ialah objek yang paling banyak menunjukkan ciri-ciri permukaan yang sungguh kompleks tetapi indah, tidak kira kita guna mana-mana perlatan untuk cerap.
Dari kawah-kawah yang besar dan kecil, lurah-lurah dalam yang merobek permukaannya, sehinggakan gunung-ganang yang berkilometer tingginya, Bulan sentiasa memberikan pose yang cukup istimewa bagi kita, penduduk Bumi.
Dan disebabkan Bulan membalikkan cahaya dari matahari, setiap malam Bulan tidak akan menunjukkan keadaan rupa bentuk yang sama. Ini disebabkan sudut ketinggian matahari di permukaan bulan yang berubah dari hari ke sehari, menghasilkan formasi pantulan permukaan yang berbeza-beza bagi setiap ciri-ciri permukaan Bulan.
Bulan boleh dicerap samada dengan mata, binokulars dan teleskop. Malah anda tidak perlu berbelanja besar membeli teleskop yang berkuasa tinggi, kerana Bulan begitu cerah, sehingga teleskop yang kecil ( seperti 60mm-70mm ) pun sudah boleh menunjukkan ciri-ciri yang begitu menarik.

PLANET

Setiap planet di dalam sistem suria akan menunjukkan ciri-ciri yang berlainan. Daripada bentuk seumpama fasa bulan yang ditunjukkan oleh Utarid dan Zuhrah, permukaan kemerahan dan kutub-kutub Marikh, awan-awan ribut Musytari dan tarian bulan-bulannya, gelang Zuhal yang begitu indah dan penuh misteri, titik biru Uranus dan Neptune, serta Pluto yang jauh, malap dan kesunyian, planet-planet ini akan sentiasa memberi sesuatu yang baru, kepada sesiapa yang ingin mempelajarinya.
Mencerap planet lebih sesuai jika digunakan teleskop berkuasa tinggi. Ini bagus jika kita benar-benar inginkan melihat ciri-ciri unik setiap planet. Tetapi jika kita lebih berminat untuk melihat keindahan kehadirannya disebalik bintang-bintang di langit, Binokulars lebih sesuai dan lebih memuaskan hati.

KOMET

Komet ialah objek yang cukup misteri. Kadangkala ia muncul begitu cerah menyinari langit dengan ekornya. Kadangkala ia begitu malap, bergerak perlahan-lahan merentasi langit malam, lepas daripada pemerhatian kita.
Untuk mengagak kecerahan sesebuah komet pun agak sukar. Walaupun sudah ada formula asas untuk meramal magnitud atau kecerahannya, tetapi secara realitinya tidak semua ramalan berjaya menjadi kenyataan.
Komet yang cerah akan dengan mudah menunjukkan keindahan ekornya. Untuk melihat ekornya di dalam keadaan yang paling indah, gunalah binokulars. Teleskop hanya akan dapat menunjukkan kepala atau koma komet tersebut . Ini disebabkan panjang ekor komet boleh mencecah sehingga beberapa darjah, malah dalam beberapa kes seperti komet Hyakutake pada tahun 1995, ekornya merentasi SEPARUH langit!! Subhanallah!!!

ASTEROID

Asteroid merupakan batu-batan yang terapung-apung mengelilingi matahari. Di sebabkan saiznya begitu kecil, adalah hampir mustahil untuk kita melihat keadaan rupabentuknya menerusi teleskop berkuasa tinggi.
Tetapi jangan anggap asteroid tidak dapat memberi kita sebarang fenomena menarik. Ada satu kejadian yang dipanggil occultation atau penghijaban asteroid terhadap bintang-bintang di langit. Ketika kejadian ini berlaku, cahaya dari bintang di belakang asteroid tersebut akan malap buat beberapa saat, bergantung kepada saiz asteroid tadi. Kejadian ini boleh dilihat dan dikaji dengan teleskop.

BURUJ

Buruj merupakan formasi bentuk-bentuk tertentu di langit yang dihasilkan oleh bintang-bintang. Terdapat 88 buah buruj kesemuanya yang ada di langit, yang telah ditetapkan oleh International Astronomical Union.
Untuk melihat Buruj, mata kita merupakan alat yang paling sesuai dan tidak ada tolok bandingannya. Ini adalah kerana Buruj-buruj sungguh besar dan merentasi kawasan yang luas. Mata kita mempunyai medan penglihatan yang luas dan amat sesuai untuk menggapai keseluruhan formasi buruj-buruj di langit.

GUGUSAN BINTANG

Di celah-celah bintang di langit, kita akan terserempak dengan bintang-bintang yang seolah-olah berkumpul di dalam satu kelompok. Inilah yang dipanggil sebagai gugusan bintang. Objek jenis ini mempunyai 2 bentuk:
Open Cluster
Globular Cluster
Open Cluster berbentuk lebih 'terbuka', yakni bintang-bintangnya kelihatan terserak secara rawak. Jumlah bintang di dalam sesebuah Open Cluster boleh jadi antara puluhan hingga ratusan. Binokular merupakan alat paling sesuai untuk mencerap Open Cluster.
Globular Cluster berbentuk seperti bebola, di mana bintang-bintangnya lebih tertumpu kepada pusatnya. Umur objek ini boleh dikatakan sama usia dengan galaksi kita! Dan jumlah bintangnya boleh mencecah ratusan ribu bintang! Hanya 2 atau 3 Globular Cluster sahaja yang menarik untuk dilihat menerusi binokulars. Selebihnya, kita memerlukan teleskop untuk benar-benar melihat rupabentuknya.

NEBULA

Nebula merupakan kawasan-kawasan gas di angkasa lepas di mana bintang-bintang sedang terbentuk. Cahaya yang kita lihat pada nebula ini datang daripada bintang-bintang yang berada berhampirannya.
Namun, jangan terpengaruh dengan keindahan gambar-gambar nebula yang kita lihat menerusi majalah dan internet. Secara realitinya, amat susah untuk kita melihat formasi awan nebula di dalam keadaan yang begitu perinci dan berwarna-warni, kerana sensitivi kamera dan mata kita amat berbeza. Menerusi teleskop, nebula-nebula yang cerah akan kelihatan hanya samar-samar sahaja dan berwarna putih.
Dan kita memerlukan teleskop bersaiz besar untuk benar-benar melihat keindahan nebula. Selalunya teleskop bersaiz 10 inci ke atas.

GALAKSI

Galaksi ialah sebuah sistem bintang gergasi yang berputar mengelilingi pusatnya. Bima Sakti kita adalah satu galaksi. Galaksi paling hampir dan paling cerah ialah Galaksi Andromeda.
Sepertimana Nebula, tidak banyak galaksi yang cerah-cerah. Ramai yang berasa kecewa apabila melihat Andromeda Galaksi menerusi teleskop. Bagi kebanyakan orang, apa yang mereka teropong harus sama dengan apa yang mereka baca dan lihat menerusi buku, majalah dan internet! Ini merupakan satu anggapan yang kurang tepat dan harus diperbetulkan. Kebanyakkan galaksi, apabila diteropong, hanya akan kelihatan seperti awan yang kelam (sekali imbas nampak macam nebula) dan bewarna putih. Anda memerlukan teleskop, sekurang-kurang bersaiz 10 inci, untuk benar-benar berupaya melihat bentuk pusaran sesebuah galaksi.

No comments:

Post a Comment