Saturday, August 29, 2009



BAITULMAQDIS - Kira-kira 90,000 orang membanjiri pekarangan Masjid Al-Aqsa di sini untuk solat Jumaat yang pertama pada bulan Ramadan.
Polis Israel melaporkan tiada sebarang insiden besar berlaku selepas penduduk lelaki Palestin berusia 50 tahun ke atas manakala wanita yang berumur lebih 45 tahun dibenarkan memasuki pekarangan masjid itu.
Sebelum ini, penduduk Palestin dari Tebing Barat dan Genting Gaza dilarang memasuki Baitulmaqdis yang ditakluk rejim Zionis selepas Perang Enam Hari pada 1967.
Di pos pemeriksaan Qalandia iaitu pintu masuk ke Baitulmaqdis, orang ramai berbaris panjang sejak awal pagi untuk bersolat di masjid itu. - AFP

Friday, August 28, 2009

Puasa - dari prespektif sains

Oleh : Dr. Mohd Zamrin Dimon
Pakar Perunding Bedah Jantung dan Paru-paru HUKM
Presiden Kelab Kesihatan HALUAN (KKH)
PUASA adalah menahan diri dari makan dan minum dari terbit fajar ke maghrib. Dari aspek fisiologi dan kesihatan, puasa bermula sekitar 12 hingga 24 jam dari ketika kita tidak makan dan minum.
Puasa belum bermula dari segi kimianya, sehinggalah karbohidrat dalam badan kita digunakan sebagai sumber tenaga. Puasa boleh berterusan sehingga semua karbohidrat dan lemak dalam badan kita dapat digunakan sebagai sumber tenaga.
Apabila badan kehabisan karbohidrat dan lemak, protein pula akan digunakan sebagai sumber tenaga. Pada ketika ini, ia tidak disebut sebagai puasa tetapi kebuluran.
Berdasarkan kepada fakta ini, seseorang manusia yang sihat akan dapat bertahan untuk hidup tanpa makanan selama hampir 40 hari, dengan syarat dia mendapat sumber air yang berterusan, dan tidak terdedah kepada anasir-anasir toksik dan pencemaran seperti penyakit berjangkit.
Manfaat puasa
Makanan adalah sumber tenaga untuk membolehkan tubuh menjalankan fungsi-fungsi fisiologinya. Tanpa kita sedari setiap aktiviti dalam tubuh kita perlukan tenaga. Jantung yang berdenyut tanpa henti, usus yang bergerak untuk menghadamkan makanan, pernafasan, berfikir, berjalan dan sebagainya semuanya memerlukan tenaga. Sumbernya adalah makanan.
Sekiranya tiada makanan yang dibekalkan, badan akan menggunakan simpanan tenaga dalam badan kita, bermula dari karbohidrat, lemak dan kemudian protein. Semasa puasa, badan akan menggunakan sumber tenaga dari dalam badan kita sendiri melalui proses yang dinamakan autolisis yang memecahkan simpanan karbohidrat dan lemak dalam badan untuk menjadi sumber tenaga.
Proses ini berlaku dalam hati di mana lemak akan ditukar kepada satu bahan kimia yang dinamakan keton tubuh, yang kemudiannya disebarkan ke seluruh badan melalui aliran darah. Lebih lama badan tidak mendapat makanan, lebih banyak proses ini berlaku dan lebih banyak keton yang dihasilkan.
Beberapa manfaat puasa:
Detoksifikasi
Proses detoksifikasi adalah proses normal dalam badan untuk membuang, menyingkirkan atau meneutralkan bahan-bahan toksik melalui usus besar, hati, buah pinggang, paru-paru, saluran limpa dan juga kulit. Proses ini dipercepatkan semasa puasa kerana tiada makanan yang masuk dalam badan dan badan beralih kepada sumber tenaga daripada simpanan lemak badan.
Lemak dalam badan manusia dapat menyumbangkan sebanyak 9,000 kalori setiap kilogram. Untuk badan berfungsi secara normal, kita memerlukan sebanyak 2,000 kalori sehingga 2,800 kalori bergantung pada tahap aktiviti. Bermakna setiap kilogram lemak berupaya menyumbang tenaga cukup untuk 3 – 4 hari. Perlu difahamkan, simpanan tenaga dalam bentuk lemak ini berlaku bila terdapat lebihan dalam makanan yang kita ambil setiap hari.
Bayangkan kalau dalam setahun, selama 11 bulan, berapa kilogram lemak yang telah disimpan oleh tubuh kita?
Bila lemak badan digunakan sebagai sumber tenaga, proses autolisis menyebabkan berlakunya pelepasan bahan kimia toksik yang turut tersimpan ke dalam saluran darah dan seterusnya disingkirkan melalui kaedah yang disebut di atas.
Ada bahan kimia toksik yang turut tersimpan bersama lemak, yang didapati melalui udara yang disedut, juga akan tersingkir dalam proses autolisis ini. Contohnya DDT, yang dinyahkan melalui air kencing, peluh dan najis.
Proses penyembuhan
Semasa berpuasa, penggunaan tenaga dalam badan dialihkan dari saluran pemakanan, usus untuk mencerna makanan (disebabkan kurang penggunaannya) kepada sistem yang lebih penting seperti sistem imun dan metabolisme.
Bila kita sedang sakit, perkara yang biasa berlaku ialah kita tidak ada selera makan. Ini adalah satu refleks fisiologi, kerana badan tidak mahu membuang banyak tenaga di usus, bahkan mahu tumpukan pada proses penyembuhan melalui metabolisme dan meningkatkan kemampuan sistem imuniti badan kita.
Dalam berpuasa, perkara ini berlaku secara terancang. Proses sintesis protein dapat berlaku dengan lebih efisien jadi kurangnya berlaku kesilapan dalam sintesis DNA dan genetik. Puasa membolehkan sistem pemakanan berehat dan membolehkan tenaga digunakan untuk memperbaiki sistem tubuh lain terutama sistem imun.
Tambahan pula semasa puasa, berlaku penurunan suhu teras badan kita disebabkan metabolisme badan yang rendah dan tahap aktiviti yang menurun. Hormon tumbesaran juga dibebaskan semasa puasa dan ini membantu proses penyembuhan lebih efektif.
Proses rejuvenasi/mempermuda
Proses metabolisme yang rendah, penghasilan protein yang lebih efektif, sistem imun yang lebih berkesan dan pertambahan penghasilan hormon dalam badan semasa berpuasa menyebabkan proses rejuvenasi ini seterusnya menyebabkan jangka hayat yang lebih baik. Selain dari produksi hormon tumbesaran yang lebih banyak, hormon antipenuaan (hormon remaja) juga bertambah penghasilannya semasa puasa.
Meningkatkan ketajaman mental
Bila badan kita bebas daripada bahan-bahan toksik yang mengalir dalam aliran darah, kemampuan berfikir akan menjadi lebih tinggi. Apabila kita makan, banyak sumber tenaga dalam darah dan saraf dihantar ke usus untuk proses penghadaman.
Sekiranya tenaga ini tidak diperlukan di usus, ia akan dihantar ke otak untuk proses berfikir. Perkara ini tidak berlaku dalam hari pertama sehingga tiga hari puasa. Pada awalnya kita akan berasa pening, sugul dan sakit badan. Ini ialah kerana tiga hari pertama tenaga masih digunakan untuk menyahkan toksin yang ada selain dari membersihkan sisa-sisa kotoran dalam saluran makanan.
Selepas dari fasa ini, darah yang mengalir ke otak lebih bersih dari toksik dan menjadikan kemampuan berfikir lebih tinggi. Kita menjadi lebih cergas dan bersikap terbuka, emosi yang lebih stabil dan tajam fikiran.
Faktor lain yang menyebabkan perkara ini berlaku ialah semasa berpuasa kita kurang bergantung kepada makanan secara emosinya, kurang terdedah pada makanan atau bahan yang merangsang seperti kafein, gula dan rokok. Kesan ini selalunya dirasai dalam minggu ketiga puasa, selepas 20 Ramadan.
Sumber : http://haluan.org.my
google_protectAndRun("render_ads.js::google_render_ad", google_handleError, google_render_ad);

Wednesday, August 19, 2009

Apa yang perlu dicerap? Artikel dari Falakonline

Melibatkan diri di dalam hobi yang bernama astronomi , sekali imbas tidaklah begitu kompleks. Kita hanya perlu tahu objek apakah yang sedang muncul di langit pada waktu ini, dan boleh 'menunjukkan' kepada rakan anda objek tersebut dengan rasa penuh yakin! Untuk melakukan ini, kita tidak perlu membeli sebarang peralatan astronomi. Kita hanya perlu pandai menggunakan mata kita sebagai alat bantuan mencerap dan ilmu yang dipelajari sebagai navigator atau panduan arah.

Namun, 10 tahun kebelakangan ini, dengan berkembangnya teknologi teleskop, kita akan mudah rasa bingung dan tidak tahu teleskop jenis apa yang harus dibeli yang dapat menunjukkan 'semua' objek idaman anda. Di sinilah, vendor-vendor teleskop memanipulasi 'idaman' orang ramai dengan menyediakan pelbagai jenis teleskop. Dan jika tidak berhati-hati, kita sebagai pengguna akan mudah terperangkap dengan kata-kata 'marketing' yang disediakan.
Bagi saya, pengalaman hampir 20 tahun bermain-main di dalam bidang ini, Alhamdulillah telah sedikit sebanyak merasionalkan pemikiran saya daripada terperangkap dan terbeli alat-alat yang tidak diperlukan. Ini seterusnya membawa saya kepada satu soalan yang paling asas yang patut ditanya oleh sesiapa sahaja yang ingin membeli teleskop..... "Objek apakah yang saya gemari dan ingin cerap selalu ?"
Di dalam Siri 1 ini, saya akan cuba senaraikan objek-objek yang boleh dicerap di langit, dan jenis peralatan paling sesuai untuk digunakan.

MATAHARI

Matahari merupakan objek yang paling cerah di langit, tetapi antara objek yang paling mudah kita terlupa untuk cerap. Kebanyakkan daripada kita menganggap tidak ada apa-apa yang menarik boleh dilihat pada matahari. Ini merupakan satu anggapan yang salah. Kerana matahari merupakan antara objek yang paling aktif dan dinamik di langit. Tompok matahari, kawasan 'hitam' pada permukaan matahari sentiasa berubah-ubah bentuknya, dan jika kita bernasib baik, akan muncul tompokan hitam gergasi yang pernah belaku pada bulan Ramadhan tahun 1424 lepas, yang berjaya dirakam oleh saya.
Untuk mencerap matahari, kita boleh guna samada binokulars dan teleskop. Kaedah yang paling selamat ialah menggunakan filter atau penapis matahari (seperti jenis Mylar) atau guna kaedah "eyepiece projection". Apapun, JANGAN SEKALI-KALI MELIHAT MATAHARI TANPA MENGGUNAKAN SEBARANG PENAPIS MATAHARI, jika anda gagal mematuhi peraturan asa ini, ia boleh menyebabkan anda BUTA!!! AWAS!!!

BULAN

Bulan ialah objek yang paling mudah untuk dikenalpasti. Anak-anak kecil pun sudah pandai menunjuk-nunjuk arah bulan sampai kata "wa wa wa wa wa... tu bulan!!!!" Dan bagi saya Bulan ialah objek yang paling banyak menunjukkan ciri-ciri permukaan yang sungguh kompleks tetapi indah, tidak kira kita guna mana-mana perlatan untuk cerap.
Dari kawah-kawah yang besar dan kecil, lurah-lurah dalam yang merobek permukaannya, sehinggakan gunung-ganang yang berkilometer tingginya, Bulan sentiasa memberikan pose yang cukup istimewa bagi kita, penduduk Bumi.
Dan disebabkan Bulan membalikkan cahaya dari matahari, setiap malam Bulan tidak akan menunjukkan keadaan rupa bentuk yang sama. Ini disebabkan sudut ketinggian matahari di permukaan bulan yang berubah dari hari ke sehari, menghasilkan formasi pantulan permukaan yang berbeza-beza bagi setiap ciri-ciri permukaan Bulan.
Bulan boleh dicerap samada dengan mata, binokulars dan teleskop. Malah anda tidak perlu berbelanja besar membeli teleskop yang berkuasa tinggi, kerana Bulan begitu cerah, sehingga teleskop yang kecil ( seperti 60mm-70mm ) pun sudah boleh menunjukkan ciri-ciri yang begitu menarik.

PLANET

Setiap planet di dalam sistem suria akan menunjukkan ciri-ciri yang berlainan. Daripada bentuk seumpama fasa bulan yang ditunjukkan oleh Utarid dan Zuhrah, permukaan kemerahan dan kutub-kutub Marikh, awan-awan ribut Musytari dan tarian bulan-bulannya, gelang Zuhal yang begitu indah dan penuh misteri, titik biru Uranus dan Neptune, serta Pluto yang jauh, malap dan kesunyian, planet-planet ini akan sentiasa memberi sesuatu yang baru, kepada sesiapa yang ingin mempelajarinya.
Mencerap planet lebih sesuai jika digunakan teleskop berkuasa tinggi. Ini bagus jika kita benar-benar inginkan melihat ciri-ciri unik setiap planet. Tetapi jika kita lebih berminat untuk melihat keindahan kehadirannya disebalik bintang-bintang di langit, Binokulars lebih sesuai dan lebih memuaskan hati.

KOMET

Komet ialah objek yang cukup misteri. Kadangkala ia muncul begitu cerah menyinari langit dengan ekornya. Kadangkala ia begitu malap, bergerak perlahan-lahan merentasi langit malam, lepas daripada pemerhatian kita.
Untuk mengagak kecerahan sesebuah komet pun agak sukar. Walaupun sudah ada formula asas untuk meramal magnitud atau kecerahannya, tetapi secara realitinya tidak semua ramalan berjaya menjadi kenyataan.
Komet yang cerah akan dengan mudah menunjukkan keindahan ekornya. Untuk melihat ekornya di dalam keadaan yang paling indah, gunalah binokulars. Teleskop hanya akan dapat menunjukkan kepala atau koma komet tersebut . Ini disebabkan panjang ekor komet boleh mencecah sehingga beberapa darjah, malah dalam beberapa kes seperti komet Hyakutake pada tahun 1995, ekornya merentasi SEPARUH langit!! Subhanallah!!!

ASTEROID

Asteroid merupakan batu-batan yang terapung-apung mengelilingi matahari. Di sebabkan saiznya begitu kecil, adalah hampir mustahil untuk kita melihat keadaan rupabentuknya menerusi teleskop berkuasa tinggi.
Tetapi jangan anggap asteroid tidak dapat memberi kita sebarang fenomena menarik. Ada satu kejadian yang dipanggil occultation atau penghijaban asteroid terhadap bintang-bintang di langit. Ketika kejadian ini berlaku, cahaya dari bintang di belakang asteroid tersebut akan malap buat beberapa saat, bergantung kepada saiz asteroid tadi. Kejadian ini boleh dilihat dan dikaji dengan teleskop.

BURUJ

Buruj merupakan formasi bentuk-bentuk tertentu di langit yang dihasilkan oleh bintang-bintang. Terdapat 88 buah buruj kesemuanya yang ada di langit, yang telah ditetapkan oleh International Astronomical Union.
Untuk melihat Buruj, mata kita merupakan alat yang paling sesuai dan tidak ada tolok bandingannya. Ini adalah kerana Buruj-buruj sungguh besar dan merentasi kawasan yang luas. Mata kita mempunyai medan penglihatan yang luas dan amat sesuai untuk menggapai keseluruhan formasi buruj-buruj di langit.

GUGUSAN BINTANG

Di celah-celah bintang di langit, kita akan terserempak dengan bintang-bintang yang seolah-olah berkumpul di dalam satu kelompok. Inilah yang dipanggil sebagai gugusan bintang. Objek jenis ini mempunyai 2 bentuk:
Open Cluster
Globular Cluster
Open Cluster berbentuk lebih 'terbuka', yakni bintang-bintangnya kelihatan terserak secara rawak. Jumlah bintang di dalam sesebuah Open Cluster boleh jadi antara puluhan hingga ratusan. Binokular merupakan alat paling sesuai untuk mencerap Open Cluster.
Globular Cluster berbentuk seperti bebola, di mana bintang-bintangnya lebih tertumpu kepada pusatnya. Umur objek ini boleh dikatakan sama usia dengan galaksi kita! Dan jumlah bintangnya boleh mencecah ratusan ribu bintang! Hanya 2 atau 3 Globular Cluster sahaja yang menarik untuk dilihat menerusi binokulars. Selebihnya, kita memerlukan teleskop untuk benar-benar melihat rupabentuknya.

NEBULA

Nebula merupakan kawasan-kawasan gas di angkasa lepas di mana bintang-bintang sedang terbentuk. Cahaya yang kita lihat pada nebula ini datang daripada bintang-bintang yang berada berhampirannya.
Namun, jangan terpengaruh dengan keindahan gambar-gambar nebula yang kita lihat menerusi majalah dan internet. Secara realitinya, amat susah untuk kita melihat formasi awan nebula di dalam keadaan yang begitu perinci dan berwarna-warni, kerana sensitivi kamera dan mata kita amat berbeza. Menerusi teleskop, nebula-nebula yang cerah akan kelihatan hanya samar-samar sahaja dan berwarna putih.
Dan kita memerlukan teleskop bersaiz besar untuk benar-benar melihat keindahan nebula. Selalunya teleskop bersaiz 10 inci ke atas.

GALAKSI

Galaksi ialah sebuah sistem bintang gergasi yang berputar mengelilingi pusatnya. Bima Sakti kita adalah satu galaksi. Galaksi paling hampir dan paling cerah ialah Galaksi Andromeda.
Sepertimana Nebula, tidak banyak galaksi yang cerah-cerah. Ramai yang berasa kecewa apabila melihat Andromeda Galaksi menerusi teleskop. Bagi kebanyakan orang, apa yang mereka teropong harus sama dengan apa yang mereka baca dan lihat menerusi buku, majalah dan internet! Ini merupakan satu anggapan yang kurang tepat dan harus diperbetulkan. Kebanyakkan galaksi, apabila diteropong, hanya akan kelihatan seperti awan yang kelam (sekali imbas nampak macam nebula) dan bewarna putih. Anda memerlukan teleskop, sekurang-kurang bersaiz 10 inci, untuk benar-benar berupaya melihat bentuk pusaran sesebuah galaksi.

Wednesday, August 5, 2009

H1N1?

Perkara Tentang H1N1 Yang Perlu Anda Tahu - Tetapi Anda Malu Hendak Bertanya


1.Apakah yang anda perlu tahu berkaitan dengan jangkitan pernafasan?Terdapat beberapa jenis jangkitan pernafasan yang sering berlaku dalam kalangan masyarakat iaitu* Seasonal Flu / selesema bermusim/ influenza like illness (ILI)
1. Disebabkan oleh pelbagai jenis virus influenza yang telah sedia ada di dalam persekitaran
2. Gejala utama adalah demam dan batuk atau sakit tekak serta hidung berair, hidung tersumbat, sakit otot, sakit kepala, menggigil (chills) dan keletihan. Gejala-gejala ini juga dikenali sebagai gejala influenza-like-illness (ILI)
3. Kebiasaanya jangkitan ini sembuh dengan sendiri dalam tempoh dua minggu dan pesakit akan memperolehi imuniti terhadap jangkitan ini
4. Jangkitan ini adalah lebih berbahaya jika ia berlaku dalam kalangan inidividu yang mempunyai penyakit sampingan yang lain seperti asthma, diabetes, penyakit paru-paru kronik , obesiti dan kegagalan organ.

* Common Cold

1. Disebabkan oleh berbagai jenis virus
2. Gejala utama adalah hidung tersumbat/hidung berair/bersin/sakit tekak/gatal tekak/batuk dan pesakit mungkin mengalami demam
3. Gejala ini lebih ringan daripada seasonal flu dan biasanya pesakit sembuh dalam masa 3-10 hari

* Pharyngitis / radang tekak

1. Kebiasaannya ia disebabkan oleh jangkitan bakteria atau virus di bahagian tekak
2. Gejala utama adalah sakit tekak dan demam3. Kebiasaannya ia memerlukan rawatan antibiotik dan rawatan simptomatik seperti ubat demam/sakit tekak dan sebagainya

* Pneumonia/ jangkitan paru-paru

1. Kebiasaanya ia disebabkan oleh jangkitan bakteria atau virus di dalam paru-paru
2. Gejala utama adalah demam/batuk berkahak/sukar bernafas
3. Pesakit perlu mendapat rawatan di hospital

2.Apakah itu penyakit Influenza A (H1N1)?

Influenza A (H1N1) adalah sejenis penyakit berjangkit pada saluran pernafasan yang disebabkan oleh virus influenza A(H1N1).Virus influenza ini adalah sejenis virus yang baru dan terhasil daripada reassortment (percampuran) genetik virus influenza babi, burung dan manusia.Lagi...

3.Kenapa virus baru H1N1 ini sering dikaitkan dengan “swine flu” (selesema babi)?

Virus ini dikenali sebagai selesema babi (swine flu) kerana berdasarkan ujian awal makmal ia menunjukkan kebanyakan gen virus ini adalah sama seperti gen virus selesema babi yang berasal dari Amerika Utara.Walau bagaimanapun kajian terperinci menunjukkan bahawa ia adalah sejenis virus baru yang berbeza dengan virus selesema babi sedia ada.

4.Negara mana yang dilanda penyakit ini?

Maklumat yang ada pada masa ini menunjukkan bahawa kes yang terawal dijangkiti virus ini dilaporkan dari Mexico dan Amerika Syarikat pada April 2009 dan telah terus menular ke negara-negara lain.Untuk maklumat terkini tentang negara-negara yang dilanda penyakit ini, sila rujuk laman web http://www.who.int/en

5.Apakah gejala virus ini?

Gejala jangkitan virus influenza A(H1N1) adalah serupa dengan gejala selesema bermusim (influenza-like-illness) termasuk demam; batuk, sakit tekak dan gejala lain seperti selesema, sakit badan, sakit kepala, badan berasa sejuk dan lesu. Terdapat juga individu yang dijangkiti virus ini mengalami cirit-birit dan muntah.

6.Bagaimana kita boleh dijangkiti?

Virus ini berjangkit apabila pesakit batuk atau bersin.Titisan cecair pernafasan yang keluar akan terkena tangan pesakit, permukaan-permukaan (surfaces) atau tersebar ke udara. Seseorang boleh dijangkiti sama ada melalui pernafasan; melalui sentuhan dengan tangan pesakit atau menyentuh permukaan-permukaan yang tercemar dengan titisan cecair pesakit.

7. Bolehkah saya dijangkiti virus H1N1 apabila memakan atau menyediakan babi?

Tidak. Virus H1N1 tidak berjangkit melalui makanan. Individu yang memakan babi atau produk babi tidak boleh dijangkiti oleh virus HIN1. Daging atau produk babi yang dikendalikan dan dimasak dengan betul (160°F/70°C) adalah selamat untuk dimakan.

8. Apa yang perlu saya lakukan jika saya mengesyaki dijangkiti penyakit ini?

Sekiranya anda berasa tidak sihat atau mengalami gejala selesema:
* Anda dinasihatkan untuk berada di rumah dan elakkan berada di tempat kerja, sekolah atau tempat sesak
* Berehat dan meminum banyak air
* Tutup mulut dan hidung bila batuk dan selesema dan, jika menggunakan tisu, buang tisu yang telah digunakan ke dalam tong sampah. Bersihkan tangan segera dengan sabun dan air atau bersihkan dengan bahan cuci berasaskan alkohol
* Jika anda tidak mempunyai tisu ketika batuk atau bersin, tutup mulut dan hidung dengan dengan lengan dan siku anda
* Gunakan mask bagi mengelakkan titisan cecair tersebar kepada orang lain di sekeliling anda. Pastikan anda memakai mask dengan cara yang betul
* Maklumkan keluarga dan rakan mengenai masalah kesihatan yang anda alami dan elakkan berhubung rapat dengan orang lain
* Seboleh-bolehnya, hubungi pihak kesihatan sebelum ke kemudahan kesihatan bagi membincangkan samada pemeriksaan kesihatan diperlukan
* Jika perlu mendapatkan rawatan lanjut ataupun gejala bertambah teruk seperti demam dan batuk/sakit tekak yang berterusan hendaklah segera berjumpa doktor untuk pemeriksaan9. Berapa lamakah orang yang dijangkiti boleh menyebarkan virus ini?Selagi mereka mempunyai gejala penyakit ini. Biasanya sehingga 7 hari dari tarikh mula mengalami gejala penyakit ini terutamanya semasa demam
Kanak-kanak boleh menyebarkan penyakit ini bagi tempoh yang lebih lama.

10. Bagaimana anda boleh mengurangkan penularan jangkitan ini?

* Social distancing iaitu menjarakkan kedudukan sekurang-kurangnya 1 meter dengan individu lain serta meminimumkan majlis perjumpaan
* Adab batuk yang baik (cough etiquette)
* Kebersihan tangan dengan mencuci cara betul dan lebih kerap
* Pengudaraan dalam rumah yang baik
* Kes-kes yang berkomplikasi atau yang berisiko tinggi perlu dirawat di hospital. Pendekatan ini akan memastikan impak negatif penularan pandemik dapat diminimakan
* Mereka yang bergejala ringan, serta tiada masalah kesihatan, digalakkan berehat di rumah dan hanya perlu ke klinik atau hospital apabila gejala menjadi lebih berat.
* Kehadiran banyak kes bergejala ringan ke klinik boleh membebankan keupayaan klinik untuk merawat kes-kes yang berisiko yang sebenarnya perlu diberi perhatian utama
* Mereka yang bergejala perlu memakai mask termasuk mereka yang berisiko tinggi seperti pesakit asthma, obesiti, ibu mengandung, diabetes, dan penyakit kronik paru-paru
* Majikan dan institusi perlu memantau kehadiran pekerja mereka termasuk mereka yang tidak hadir bertugas kerana sakit
* Kejadian kes bersimptom influenza perlu dilaporkan segera kepada Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat

11. Adakah terdapat vaksin khusus untuk melindungi diri daripada Influenza A (H1N1)?

Sehingga kini belum ada vaksin khusus untuk melindungi diri daripada Influenza A (H1N1). Walau bagaimanapun usaha-usaha penghasilan vaksin ini sedang jalankan.Vaksin sedia ada pada masa ini adalah vaksin influenza bermusim yang TIDAK memberi perlindungan daripada jangkitan influenza A(H1N1).

12. Terdapatkah ubat untuk merawat penyakit ini?

Buat masa ini terdapat dua jenis ubat antiviral iaitu oseltamivir (Tamiflu®) dan zanamivir (Relenza®) yang boleh digunakan untuk merawat penyakit ini. Ubat ini hanya diberikan kepada pesakit-pesakit yang dimasukkan ke hospital-hospital tertentu.

13. Bolehkah antiviral ini mencegah jangkitan influenza A(H1N1) ?

Tidak. Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membeli ataupun mengambil antiviral ini bagi tujuan untuk mencegah jangkitan. Pengambilan antiviral yang berleluasa boleh mengakibatkan terjadinya resistan terhadap ubat tersebut. Ini akhirnya mengakibatkan ubat tersebut tidak lagi berkesan untuk merawat jangkitan influenza.

14. Bolehkah kita ke luar negara?

Buat masa ini, Kementerian Kesihatan menasihatkan kepada mana-mana individu yang ingin membuat perjalanan ke luar Negara terutamanya negara-negara yang terjejas supaya mengambil langkah-langkah pencegahan yang sesuai semasa berada di sana.Sekiranya anda jatuh sakit sama ada semasa berada di luar Negara atau setelah kembali ke Malaysia, segera dapatkan rawatan doktor.

15. Kawan saya baru pulang dari salah sebuah Negara yang terjejas, adakah beliau boleh terus hadir ke tempat kerja atau dikenakan tindakan kuarantin. Apakah yang patut saya lakukan sebagai rakan sekerja?

Sebagai seorang warga kerja yang bertanggungjawab, seseorang yang baru pulang dari luar Negara dan sihat tidak dikenakan tindakan kuarantin tetapi beliau perlu memantau kesihatan diri terutamanya gejala demam/batuk/sakit tekak/selesema.Sekiranya individu tersebut berasa tidak sihat, beliau hendaklah berehat di rumah sekurang-kurangnya dalam tempoh 3-4 hari atau sehingga beliau pulih.Sementara itu pihak majikan perlu menasihati pekerja mereka yang mempunyai gejala influenza untuk tidak hadir bagi mencegah penularan penyakit ini berlaku di tempat kerja dan menyebabkan keadaan menjadi lebih teruk.Pihak majikan juga hendaklah melaporkan sebarang kejadian dalam kalangan pekerja bergejala influenza kepada Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat.Mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (1994) majikan bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerjanya. Dengan itu adalah menjadi tanggungjawab majikan untuk membenarkan pekerja yang mengalami gejala-gejala influenza-like-illness untuk berehat di rumah sehingga pulih supaya pekerja lain tidak terdedah kepada jangkitan Influenza A(H1N1) ini. Pekerja yang mengalami gejala-gejala influenza- like-illness juga berkewajipan untuk berehat di rumah sehingga pulih supaya pekerja lain tidak terdedah kepada jangkitan Influenza A(H1N1) ini.

16. Anak saya belajar di salah sebuah institusi/ sekolah yang mempunyai kejadian influenza A(H1N1), apakah yang perlu saya lakukan?

Sekiranya institusi/sekolah ditutup untuk tempoh tertentu, anak tuan hendaklah sentiasa berada di rumah dan memantau kesihatan diri. Pada masa yang sama pihak sekolah tidak dibenarkan untuk mengadakan sebarang aktiviti di dalam tempoh penutupan tersebutJika anak tuan mempunyai gejala selesema (influenza-like-illness) yang ringan, beliau perlu sentiasa mengamalkan langkah pencegahan di rumah di samping memantau kesihatan diri menggunakan Panduan menilai tahap kesihatan diri di rumah. Sekiranya gejala berterusan dan bertambah teruk, anak tuan perlu mendapatkan rawatan doktor.Sekiranya institusi/sekolah anak tuan tidak ditutup, beliau dinasihatkan untuk mengamalkan langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan jangkitan tersebut

17. Adakah sekolah yang ditutup perlu dibasmi kuman sebelum dibuka semula?

Tidak. Pada umumnya sekolah akan ditutup dalam tempoh seminggu. Perlu diketahui bahawa virus H1N1 ini hanya dapat bertahan di persekitaran dalam tempoh 48 jam.

18.Apakah yang dimaksudkan dengan penutupan sekolah?

Apabila sesebuah sekolah harian ditutup kerana jangkitan influenza A(H1N1), ia bermakna semua kakitangan termasuk guru dan lain-lain kakitangan sokongan serta pelajar dikehendaki untuk berada di rumah.Ia bertujuan bagi mencegah penularan jangkitan dan seterusnya memastikan individu yang mengalami gejala-gejala influenza-like-illness untuk berehat di rumah sehingga pulih supaya orang lain tidak terdedah kepada jangkitan Influenza A(H1N1) ini.

19. Kalau seseorang pesakit positif H1N1 dan telah sembuh, adakah beliau boleh hadir ke tempat kerja seperti biasa?

Ya, beliau boleh hadir ke tempat kerja seperti biasa. Secara umumnya seseorang pesakit yang telah mendapat rawatan lengkap, tidak akan menjangkiti orang lain.

20. Bolehkah saya mendapatkan refund ticket sekiranya saya ingin membatalkan perjalanan ke Negara yang terjejas.

Sekiranya anda ingin membatalkan tiket penerbangan sila dapatkan pengesahan kesihatan daripada doktor yang berdekatan. Perlu diingatkan bahawa individu yang mempunyai penyakit sampingan yang lain mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat jangkitan influenza A(H1N1) yang lebih teruk.

21. Apakah yang dimaksudkan dengan jangkitan manusia yang berterusan (sustained human to human transmission)?

Penularan jangkitan influenza A(H1N1) berlaku secara berterusan dalam kalangan manusia dan punca jangkitan tersebut tidak dapat dikenalpasti

22.Apakah yang dimaksudkan dengan Fasa MitigasiAktiviti mitigasi adalah tindakan membendung wabak pandemik H1N1 di Malaysia dengan memperkukuhkan langkah-langkah pencegahan dan kawalan seperti mengamalkan kebersihan diri, kerap mencuci tangan dan mengamalkan adab batuk yang sesuai.Strategi utama fasa ini adalah untuk mengurangkan kesengsaraan dan kematian akibat penyakit ini, melambatkan jangkitan penyakit dan mengurangkan kesan terhadap gangguan perkhidmatan utama.Lagi...

23.Berapa lama virus ini boleh hidup di atas permukaan objek?

(seperti buku dan tombol pintu)?Kajian menunjukkan virus influenza boleh bertahan pada permukaan objek dan menjangkiti orang antara tempoh 2 hingga ke 8 jam.

24.Apa yang boleh memusnahkan virus influenza?

Virus influenza boleh dimusnahkan dengan kepanasan [75-100°C]. Selain itu, bahan kimi pemusnah kuman, termasuk klorin, hirogen peroksida, bahan cuci (sabun), iodophors (antiseptik berasaskan iodin), dan alkohol adalah berkesan terhadap virus influenza, jika digunakan dengan sukatan dan tempoh masa yang betul. Sebagai contoh, bahan pengelap atau jel beralkohol boleh digunakan untuk membersihkan tangan. Jel ini perlu digosok pada tangan sehingga ia kering.

25.Apakah permukaan objek yang mudah menjadi punca jangkitan?

Kuman boleh merebak apabila seseorang menyentuh objek yang dijangkiti kuman dan kemudiannya menyentuh mata, hidung atau mulut. Titisan cecair (batuk atau bersin) daripada individu yang dijangkiti tersebar melalui udara. Kuman boleh tersebar bila seseorang menyentuh titisan cecair pernafasan pesakit yang terlekat pada permukaan objek seperti meja, sebagai contoh, dan kemudiannya memegang mata, hidung atau mulut mereka sendiri sebelum membasuh tangan.

26.Adakah pekerja asing yang baru pulang daripada tanah air mereka perlu menjalani saringan atau pemeriksaan kesihatan?

Tidak. Pihak majikan perlu menasihatkan mereka untuk mengamalkan langkah pencegahan dan memaklumkan kepada majikan jika mengalami gejala influenza-like illness.Bagi maklumat lanjut, sila hubungi Bilik Gerakan CPRC Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia di talian 03–8881 0200/0300 atau e-mel ke cprc@moh.gov.my
Posted by Dr Azwan at 10:36 AM 0 comments Links to this post