Saturday, February 7, 2009

BAGAIMANA MEMPERBAIKI PERKHIDMATAN DOKTOR HOSPITAL KERAJAAN?



Kita sering mendengar dan membaca di kaca televisyen dan di dada akhbar mengenai kelemahan Doktor di Hospital Kerajaan. Jika kita fikirkan balik mengapa terjadinya sedemikian, sedangkan gaji orang yang bernama DOKTOR ini diberi sangat istimewa berbanding dengan pekerjaan-pekerjaan yang lain. Mengapa diberi istimewa? Kerana banyak pekerjaan di dunia ini doktor adalah dianggap penyelamat nyawa. Tapi apa yang berlaku adalah sebaliknya................

Pernahkah anda sakit dan ditahan dalam wad? Ataupun anak / isteri / suami / bapa / ibu / saudara yang sakit di hospital kerajaan? Ini adalah berdasarkan pengalaman saya. Tahun 2008 dari pertengahan tahun hinggalah hujung tahun selama 80 hari saya berada di hospital kerajaan. Kali pertama saya menjaga anak lelaki saya di Hospital Likas dan kali kedua saya menjaga bapa mentua saya di Hospital Queen Elizabeth.

Kita lihat dulu pengalaman pertama saya, pada hari khamis malam bulan Mei anak lelaki saya demam panas hingga mencapai 41 darjah celcius, kami telah membawanya ke Hospital Likas pada jam 8 pm atas nasihat doktor dari klinik. Di sana saya dan isteri sangat berharap ada doktor yang dapat merawat demam panas anak lelaki kami. Apabila kami sampai di wad tiada sebarang tindakan yang dibuat ke atas anak kami. Kami tanya jururawat apa tindakan susulan yang mereka buat? Tapi mereka pun tidak tahu. Kerana tiada doktor yang bertugas pada masa tersebut sedangkan anak kami demamnya tidak surut.

Dalam jam 11 lebih malam adalah seorang doktor yang datang mengambil darah anak kami. Rupa-rupanya dia adalah 'doktor pelatih'. Soalan saya di sini ialah mana doktor yang terlatih??? Jam 3 pagi keadaan anak saya semakin tenat sehinggakan terpaksa disambung oksigen, masa tu barulah ada doktor datang merawat dan anak kami terpasa dimasukkan dalam ICU. Di mana silapnya??? Adakah jika seseorang itu hampir nyawa-nyawa ikan baru ada doktor menjelma seperti cerita donggeng Pari-pari datang membantu apabila dalam kesusahan. Inikah yang dikatakan penyelamat nyawa manusia? Sedangkan dari awal anak saya dimasukkan dalam wad mereka tidak membuat sebarang tindakan, jangankan harap rawatan muka doktor pun tidak nampak!.

Anak saya telah koma selama 50 hari, sepanjang dia koma banyak yang saya perhatikan kelemahan doktor yang perlu diperbaiki di hospital kerajaan. Pertama doktor terlatih sepatutnya orang yang pertama menyambut pesakit yang baru dimasukkan dalam wad dan bukannya doktor pelatih atau jururawat. Kenapa rasionalnya doktor terlatih perlu ada dalam wad kerana sebarang keputusan tidak boleh dibuat oleh jururawat. Kedua doktor sepatutnya berperanan sebagai merawat pesakit dan bukannya pemutus nyawa seorang manusia. Ini adalah berdasarkan pengalaman saya sepanjang anak saya koma doktor sering berulang-alik memberitahu yang anak saya telah meninggal dunia. Di sini saya tidak tahu sama ada doktor itu tahu ka membezakan antara orang yang sudah meninggal atau belum. Sedangkan jantung anak saya masih lagi berfungsi dan badannya masih lagi nampak merah. Siapa doktor? Tuhan? Mereka sepatutnya tidak boleh membuat keputusan yang telah ditentukan oleh ALLAH sedangkan nyawa mereka lagi dipegang. Ketiga doktor mestilah sentiasa berada dalam wad supaya setiap keputusan sama ada pemberian ubat mahupun khidmat nasihat dapat dibuat dengan cepat. Ini saya dapat lihat dalam pengalaman kedua saya iaitu ketika saya menjaga bapa mertua saya. Sepatutnya bapa mertua saya sudah dapat dikeluarkan dari wad tapi memandangkan doktor seorangpun tiada dalam wad, maka terpaksalah bapa mertua saya menunggu sampai tiga hari dalam wad. Selain itu juga, dari segi memberi keputusan untuk pemberian ubat pun lambat kerana jururawat terpaksa menunggu doktor datang. Secara keseluruhannya, kelemahan hospital kerajaan boleh diatasi dengan memperbaiki perkhidmatan doktor.

Sebenarnya semua ini adalah untuk membuka mata hati kita semua, walaupun anak lelaki saya telah tiada lagi dan kami sekeluarga menerima dengan penuh redha tapi kami tidak mahu orang lain akan menerima nasib yang sama seperti yang kami alami.

No comments:

Post a Comment